Perhimpunan Himpunan Selamatkan Malaysia

Perhimpunan aman ini diadakan antara lain bagi menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan protes terhadap keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi atas sabitan 47 kes rasuah.[1] Bukit Bintang pada mulanya ditetapkan sebagai lokasi perhimpunan itu, namun diubah lokasi ke Kampung Baru. Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia dalam satu kenyataan berkata: "Himpunan yang akan turut dihadiri oleh pimpinan utama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermula selepas solat zuhur di Masjid Kampung Baru,".[2]

Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) berkata, perhimpunan ini akan diadakan pada 16 September seperti yang dijadualkan meskipun menerima pelbagai reaksi berbeza daripada pelbagai pihak. Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada kebebasan bersuara dan hak rakyat untuk berhimpun.[3] Pada 15 September, Ketua Pemuda Perikatan PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengadakan perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di ibu negara, namun berpendapat, ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira polis telah menerima notis penganjuran perhimpunan tersebut.[4] Ahmad Fadhli sebelum ini pernah mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa himpunan tersebut tidak bertujuan akan "menggoncangkan" kerajaan.[5] Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengesahkan bahawa pertubuhan itu menyokong dan turut serta dalam perhimpunan Selamatkan Malaysia. Menurut presidennya, Syed Hassan Syed Ali, adalah wajib bagi PERKASA bersama mereka yang mahu berhimpun secara aman bagi tujuan mendesak keadilan undang-undang negara ditegakkan tanpa mengira kedudukan mana-mana golongan.[6]

Perhimpunan diadakan serentak dengan acara Keretapi Sarong 2023 pada keesokan harinya,[7][8] bermula di Masjid Jamek, Kampung Baru dengan kehadiran seramai 2,000 peserta berbaju putih meskipun berdepan dengan amaran polis pada awalnya. Ribuan peserta perhimpunan berkumpul di dua lokasi berasingan, iaitu Masjid Kampung Baru dan Balai Polis Dang Wangi. Mereka turut melaungkan "Dakwa Zahid' sambil berarak sebagai bantahan terhadap keputusan pendakwa yang menarik balik kes ini yang berada di peringkat prima facie.[9] Pada masa yang sama, mereka turut melilit kain putih yang ditulis '#Selamatkan Malaysia' di kepala serta memakai selendang bercorak 'Jalur Gemilang' dan menjual baju tersebut pada harga RM20 sehelai kepada orang ramai yang berminat untuk membelinya.[10] Pemeriksaan polis mendapati trafik kekal terkawal pada hari perhimpunan dengan pematuhan luar biasa oleh pemandu. Biarpun gagal mematuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman, polis mengambil setiap langkah berjaga-jaga untuk memastikan perhimpunan ini berjalan dengan lancar.[11] Perhimpunan bersurai di Kompleks Beli-belah Sogo pada jam 3:30 petang.[12][13]

Rujukan

WikiPedia: Himpunan Selamatkan Malaysia https://www.sinarharian.com.my/article/279202/beri... https://malaysiagazette.com/2023/09/14/himpunan-se... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09... https://www.astroawani.com/berita-politik/himpunan... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09... https://bebasnews.my/2023/09/15/perkasa-sertai-per... https://www.therakyatpost.com/trpbm/2023/09/14/dua... https://harakahdaily.net/index.php/2023/09/16/ribu... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/himpuna... https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2023/09/16/h...